Wednesday, November 17, 2010

Mencari cahaya

Cerita di bawah dipetik dari ruangan agama Utusan Malaysia 17 November 2010. Tersentuh dengan cerita yang dipaparkan untuk dijadikan iktibar dan muhasabah diri. Betapa nipis iman yang dimiliki apabila tidak dapat merasa segalanya pinjaman semata, sebaliknya yang digenggaman seolah hak mutlak diri tanpa merasa kebesaran Ilahi. Pengajaran yang baik untuk diri saya yang sangat jahil.

APABILA Nabi Musa a.s hendak bertemu dengan Allah di Bukit Tursina, seluruh gunung-ganang di situ bergoncang hebat umpama gempa bumi yang sangat kuat. Malah ia dikatakan hancur sehingga tidak berbekas akibat tidak dapat menahan cahaya apabila Allah akhirnya menampakkan sedikit daripada zat-NYA.

Nabi Musa sendiri sangat terkejut, seluruh badannya gementar dengan kuat dan akhirnya pengsan.

"Samalah juga sepatutnya apabila bertemu dengan Nabi Isa yang dikatakan anak tuhan, pasti manusia akan jatuh pengsan juga." Begitulah yang difikirkan secara logik akal oleh Jerry Duane Gray, 50, mengenai soal ketuhanan pada zaman remajanya dahulu.

"Tetapi saya percaya tuhan itu wujud dan saya ingin sekali masuk ke syurga untuk bertemu dengan-NYA tetapi bagaimana? Lalu ketika itu, saya selalu berdoa agar saya diberi petunjuk yang benar mengenai tuhan, siapakah tuhan yang sebenarnya dan bagaimana saya dapat menjadi hamba-Nya yang baik" kata Gray.

Dilahirkan di Wiesbaden Jerman namun berpindah ke Amerika Syarikat ketika berusia tiga tahun.

Pada zaman muda, Gray mengikuti pengajian kejuruteraan penerbangan di Universiti Hawaii, Amerika Syarikat.

Sebaik menamatkan pengajian, Gray terus mendapat tawaran pekerjaan yang sangat lumayan iaitu menjadi sebahagian daripada pasukan penyelenggaraan pesawat peribadi milik Raja Fadh yang berpengkalan di Jeddah, Arab Saudi.

Namun Gray menolak tawaran itu mentah-mentah.

"Saya tolak tawaran itu kerana saya bimbang akan dibunuh oleh orang Islam. Malah saya sanggup untuk menganggur daripada menerima tawaran tersebut," katanya.

Gray benar-benar memilih untuk hidup sebagai penganggur. Sama ada 'terhormat' mahupun tidak, dia hanya tinggal dalam sebuah kereta di hujung sebuah dermaga di tepi laut di Hawaii.

Untuk memenuhi tuntutan perut yang lapar, Gray hanya memancing ikan. Jika beroleh ikan, maka dapatlah dia mengisi perut. Jika tidak, beliau sanggup kelaparan dengan hanya meneguk air paip yang ada di situ.

Begitulah kehidupan melarat Gray selama enam bulan sebagai penganggur.

"Saya hanya mampu menangis dan memohon agar tuhan memberikan jalan keluar daripada kehidupan yang dirasakan sangat perit ini," katanya.

Tuhan seolah-olah mendengar permintaan Gray, apabila sekali lagi beliau dihulurkan dengan tawaran yang sama, iaitu bekerja untuk Raja Fahd.

"Tetapi saya menganggap tawaran itu sebenarnya sebagai tanda tuhan murka kepada saya sehinggakan saya tidak mendapat tawaran pekerjaan di tempat lain, malah disuruh juga saya supaya ke Arab Saudi," katanya.

Gray menerima nasihat seorang teman dan akhirnya dengan hati yang berat Gray pun berangkat ke Jeddah.

Namun belum lama Gray di sana, beliau telah dihidangkan dengan pelbagai kejadian yang disifatkan sebagai luar biasa.

"Iaitu satu pemandangan yang cukup berbeza daripada apa yang saya bayangkan selama ini apabila bercakap mengenai Arab dan Islam.

"Ternyata umat Islam di sana begitu taat terhadap tuhan mereka dan lebih mengharukan saya, kalangan orang Arab itu sendiri sebenarnya begitu baik terhadap saya, seolah-olah saya seperti saudara mereka. Belum sempat saya membuka mulut, mereka sudah tahu apa bentuk bantuan yang saya perlukan," katanya.

Pemandangan yang paling menarik bagi Gray apabila umat Islam akan segera meninggalkan apa sahaja yang sedang mereka lakukan apabila azan mula berkumandang untuk segera bersolat.

"Pada suatu hari saya berada berhampiran dengan sebuah kedai emas dan secara tiba-tiba kedengaran suara azan. Apa yang berlaku amat mengejutkan saya apabila kedai emas itu dibiarkan sahaja terbuka sedangkan tiada sesiapa di dalamnya, baik pelanggan mahupun penjualnya.

Begitu juga yang berlaku di jalan raya yang sebelum ini bersimpang siur dengan kenderaan dan mereka yang berjalan kaki bertukar menjadi sepi dan lengang.

Hanya sesekali Gray melihat beberapa anggota polis yang akan menegur mereka yang lewat untuk pergi bersolat.

Tidak lama kemudian, tuan punya kedai emas kembali semula ke kedainya dan apabila melihat Gray terpaku di hadapan kedainya, lalu dia pun bertanya; "Mengapa kamu berdiri sahaja di sini, masuklah ke dalam kedai?"

"Saya tidak mahu masuk kerana bimbang saya disangka pencuri dan lebih teruk saya akan ditahan dan akibatnya tangan saya ini akan dipotong!" jawab Gray.

"Masuk sahajalah ke dalam kedai saya ini, kerana semua ini adalah milik Allah, bukan saya yang punya.

"Malah kamu boleh mengambil apa sahaja di sini kerana mungkin kamu lebih memerlukan berbanding saya kerana seperti yang saya katakan tadi bahawa semua itu adalah milik Allah dan akan kembali kepada Allah jua," kata pemilik kedai itu sambil tersenyum.

Gray bagaikan hendak menangis mendengarkan kata-kata tuan punya kedai emas itu, kerana ucapan yang begitu tulus itu membuatkan hatinya begitu terusik dan terharu.

"Saya percaya dia mempunyai iman yang sangat kuat dan saya ingin sekali mempunyai iman yang seperti itu.

Peristiwa ini membuatkan Gray semakin tertarik untuk mengenali Islam dan beliau sangat suka berbincang mengenai islam bersama rakan-rakan Islam yang lain terutamanya Ahmad, rakannya yang merupakan seorang anggota Angkatan Tentera Udara Diraja Arab Saudi.

Tidak sekadar mereka sering berbincang bersama, malah Ahmad juga memberikan senaskhah al-Quran terjemahan bahasa Inggeris kepada Gray

Friday, November 5, 2010

Malaysia oh tanah air ku...12

Terkini

ALOR SETAR 5 Nov. - Dalam kekalutan penduduk daerah Kota Setar menghadapi musibah banjir, ada pihak yang tidak berhati perut tergamak membuang janin di dalam bungkusan beg plastik di depan Hotel Sentosa Regency, Jalan Lumpur di sini hari ini.

Bungkusan plastik berwarna kuning itu dijumpai di depan kawasan letak kereta di depan hotel berkenaan oleh dua pekerja hotel tersebut kira-kira pukul 11 pagi ini.

Pekerja terbabit Nor Hamidah Che Long, berkata, kawasan jalan raya di depan hotel tersebut mula dilimpahi air awal pagi dan hanya kawasan di depan tempat letak kereta tersebut masih tidak ditenggelami air.

"Saya curiga dengan kandungan bungkusan tersebut lalu mengajak kawan saya, Saidatul Zainuddin untuk pergi melihat isi kandungan beg plastik kuning tersebut.

"Bila buka bungkusan tersebut saya nampak janin bayi yang masih ada tali pusat, uri dan bungkusan itu dipenuhi darah," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, dia terkejut kerana darah tersebut masih baru dan janin bayi tersebut hancur.

"Tangan dan kakinya jelas nampak namun jantinanya tidak dapat dipastikan.

"Selepas itu, saya terus menghubungi pihak polis bagi melaporkan mengenai kejadian ini," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan janin tersebut dan sedang mengesan pihak bertanggungjawab.

Wednesday, November 3, 2010

Resepi ikang singgang ganu kiter

Atas permintaan seorang teman yang minta aku masuk kan resepi ikang singgang kegemarang ku, maka nya aku tunaikan hasrat beliau kerana sangat mudah memasak ikang singgang semudah bid di ebay, yang penting ada duit nya untuk bid, dan untuk ikang singgang, ada ikang nya..

Keperluang:

ikang tak dok sisik (ikan tongkol or sardin/selayang or kembung pong boleh gok la or makeral or salmon)
lengkuas (aku selalu guna halia bila ndak jumpa lengkuas)
bawang putih 1@2 ulas
cili padi (ikut tahap kekuatan diri menahan kepedasan, 5@6 biji cukup lah)
kunyit hidup (serbuk pun boleh dlm keadaan darurat)sedikit sahaja bg tukar color airnya saja
asam keping 1@2 keping
buah tomato 1@2 biji

Senang jak.. bersihkan ikang nya
Masuk kan air ke dalam periuk (ikut keinginan menghirup kuah, kalau Su kawan ku yang suka menghirup kuah, perlu banyak lah airnya tapi kalau banyak airnya banyak juga lah ramuan nya)
Campak kan ke dalam periuk segala yang telah di potong halus kecuali buah tomato (cili padi di potong dua atau dimasukakn terus tanpa di potong)dan jgn pula dipotong asam keping, masukkan terus
Tunggu sehingga mendidih kemudian masuk kan ikan.
Bila ikan sudah betul hampir masak baru di masukkan buah tomato yang di potong empat atau ikut selera memotong.
Ops... garam secukup rasa dan sedikit gula

Siap sudah.. sedia di hidang...

Untuk menambah selera dan kena regu nya kata org terengganu, cari lah budu atau sambal belacan atau air asam... potong kecil cili, bawang besar dan buah tomato.. emmm...

Teringat perihal ikan singgang.. pernah dulu.. dulu pernah aku tinggal serumah dengan beberapa orang adik-adik, di suatu ketika, di sebuah negeri. Salah seorang adinda ku itu memaklumkan pada ku bahawa beliau sangat tidak menyukai ikan tongkol, orang terengganu panggil ikan aya (sebutan nya ikang aye). Maksudnya, harapan nya agar tidak lah aku dengan sengaja memilih ikan tersebut untuk dimasak kerana biasanya rajin juga aku masuk ke dapur, almaklum dah bergelar kakak kena lah lebih rajin dari adik-adik.

Satu hari tu, puas aku berpusing-pusing di market basah mencari ikan yang sesuai, tapi kerana aku hadirkan diri agak lewat, makanya tidak banyak pilihan yang tinggal. Ada beberapa jenis ikan yang tidak aku ketahui namanya dan pastinya tidak lah tahu bagaimana memasaknya. Makanya, terpaksalah aku membeli ikan tongkol walaupun terngiang ditelinga ku kata-kata dindaku sorang. Penjual ikan itu membuat jasa dengan tawaran menarik. Get 5 for the price of 2, nak tutup gerai katanya. Hah.. banyak nya ku angkut ikan tongkol pada hari itu. Sepanjang perjalanan pulang benak ku berputar-putar mencari idea untuk menangani masalah ikan tongkol yang banyak itu. Tika kereta membelok ke selekoh akhir taman perumahan ku, aku tersenyum.. yeah.. aku tahu apa nak buat...

Di dapur aku menyelongkar kabinet, mencari periuk paling besar. Jumpa. Ya boleh muat, sudah cukup besar untuk 5 ekor ikan tongkol ku. Segalanya ku sediakan mengikut keperluan, akhirnya.. masaklah ikan singgang ku dalam sebesar-besar periuk, macam masak lauk nasi dagang untuk jamuan hari raya! Getus hatiku. Tak apalah banyak pun, ikan singgang ni, lagi lama lagi sedap, makin dihangatkan di atas dapur, makin pekat kuahnya, makin keluar segala rasa bahan-bahannya. Teringat arwah ayahda ku, ikang singgang juga masakan wajib tetapi arwah tidak akan makan ikan singgang yang baru dimasak sebaliknya menunggu sehingga likat kuahnya.

Tika berehat-rehat di ruang tamu setelah penat berperang dengan 5 ekor ikan tongkol, dinda ku pulang dan terus menuju ke dapur. Dia minta izin untuk makan kerana sangat lapar. 'Makanlah' jawabku selamba. Aku memerhatikan saja gelagatnya dari jauh. Dia makan nasi berlauk ikan singgang dan ulam sambil menyicah air asam dengan seleranya. "Betul lah sangat lapar" bisik hatiku. Kemudian dia minta izin untuk meratah lauknya saja, "tak apa, makanlah, banyak tu.." jawab ku sambil senyuman terukir dibibir... hemmm....

Selesai makan dia datang dan duduk bersamaku. Aku memula bicara.. 'seingat akak, awak kata awak tak suka ikan tongkol kan?' ... "ha ah.. tak suka sangat, memang tak pernah makan pun" jawabnya pantas. Aku tersenyum mendengar jawapan itu. 'Kenal ikan tongkol yang mana satu?' tanya ku lagi. "Eh... mesti lah kenal kak.. tak kan ikan tongkol pun tak kenal, saya orang Malaysia lah kak"... Hahaha.. pecah gelak ku... 'ok.. tadi awak makan ikan apa ya', tanya ku lagi, memancing... "ikan singgang la kak, apa la kakak ni..." jawab nya yang mula kelihatan malas melayan soalan-soalan ku, mengantuk mungkin kerana makin rendah badan nya di jatuhkan ke sofa. 'Ya sayang, ikan singgang masakan nya, tapi ikan apa yang diguna?' aku tersenyum lagi, geli hati ku tak tertahan-tahan...

"ikan apa kak?" tanya nya. Aku senyum.. diam.. tak menjawab... "ikan apa kak?" tanya nya lagi... aku senyum lagi buat-buat tak dengar pertanyaan beliau dan buat-buat membaca majalan di tangan ku... "kakak, ikan apa?" sepi... tak berjawab... tiba-tiba..."hah?" Terus duduk tegak terpacak di sofa.. "ikan tongkol?" Hahahaha.... aku terus tergelak besar.. sebesarnya... memecah hening tengahari itu... merah muka nya menahan geram dan malu mungkin... aku memeluk bahunya... 'ya sayang ikan tongkol... sedap tak ikan tongkol?'

"kenapa tak bagitahu?" Muncungnya saja dibuat-buat panjang.. 'tak apalah tak bagitahu, kan dah selamat setengah periuk awak meratah' aku senyum lagi.. dia pun tergelak besar dan terus merebah badannya ke sofa sambil menutup muka nya dengan bantal... "terima kasih kak, sedap ikan tongkol" katanya tersenyum. Aku membalas senyuman...

Alhamdulillah sehari semalam saja mampu bertahan, licin seperiuk ikang singgang tersebut. Baguslah dari dibuang-buang tak berkat rezeki jika membazir.


ikang singgang...

Monday, November 1, 2010

Malaysia oh tanah air ku...11

Bayi maut dicampak dari kenderaan bergerak

SIBU 15 Sept. – Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan dan masih bertali pusat dicampak keluar dari sebuah kenderaan yang sedang bergerak sehingga menyebabkan kepalanya pecah.

Perbuatan kejam itu berlaku di sebuah lorong di kawasan Perumahan Taman Rajang di sini malam tadi.

Mayat bayi yang dibungkus dengan kertas suratkhabar dan dimasukkan ke dalam beg plastik hitam itu ditemui seorang peniaga wanita yang kebetulan lalu di lorong berkenaan antara pukul 9 hingga 10 malam

Malaysia oh tanah air ku...10

Bekas pelajar UiTM mengaku buang bayi

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Chendering, dekat sini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan membuang bayi lebih dua tahun lalu.

Tertuduh, Zarina Sulaiman, 21, dari Kampung Felda Cherul, Kemaman, mengaku melakukan perbuatan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Yusoff Yunus.

Mengikut fakta kes, Zarina dituduh secara rahsia telah membuang mayat seorang bayi perempuan yang dilahirkan olehnya sama ada telah mati sebelum, semasa, atau selepas dilahirkan olehnya dan dengan sengaja telah menyembunyikan kelahiran bayi itu.

Dia dituduh melakukan melakukan perbuatan itu di Asrama Sutera UiTM Cawangan Chendering, Kubang Ikan, Chendering, dekat sini, antara pukul 11 malam dan 12 malam, 29 Jan 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan sosial tertuduh dan menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mampu membayar wang ikat jamin tersebut dan di hantar ke Penjara Pengkalan Chepa.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Insp. Marzita Subaker

Malaysia oh tanah air ku...9

Mayat bayi ditemui dalam longkang

KUCHING 6 Mac – Selepas isu pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak menghiasi dada-dada akhbar dan kaca televisyen baru-baru ini, kini muncul lagi kes yang sama.

Mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam sebatang longkang dalam keadaan menyedihkan kerana masih mempunyai tali pusat serta kesan darah pada badannya.

Bayi malang itu ditemui pada pukul 2.45 petang di kawasan berdekatan Pasar Stutong di sini oleh dua kanak-kanak berusia 13 tahun yang kebetulan bermain di situ.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, sepasukan polis yang dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu bergegas ke tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati, bayi terbabit dipercayai dibuang dan meninggal dunia pagi ini.

“Ketika ditemui, keadaan bayi itu masih mempunyai tali pusat serta ada kesan darah. Ia dibalut dengan sehelai kain tuala,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kock Keong berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat

Malaysia oh tanah air ku...8

Ingatkan bunyi kucing, rupanya bayi menangis

SEPANG 4 Mei – Mulanya disangkakan bunyi kucing mengiau.Tetapi rupa-rupanya suara bayi menangis.

Itulah yang dialami Aminah Muhamad, 56, yang menemui seorang bayi lelaki di sebuah pondok berhampiran Surau Umudiah, Kampung Batu 29, Jenderam Hulu di sini hari ini.

Dia yang sedang memotong rumput di hadapan rumahnya sebelum itu tidak dapat mengagak bunyi seperti kucing mengiau itu adalah tangisan seorang bayi.

“Disebabkan perasaan tidak puas hati, saya terus menuju ke pondok yang jaraknya hanya beberapa meter dari rumah.

“Terkejut dan menggigil saya apabila melihat seorang bayi lelaki lengkap berpakaian yang hanya diletakkan di atas sehelai kain batik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang, Asisten Supritendan Zaihairul Idrus berkata, bayi lelaki berumur sebulan itu dipercayai keturunan Melayu.

“Bayi itu ditemui pada pukul 7 pagi ini dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya.

“Dipercayai bayi malang itu ditinggalkan selama dua jam sebelum ditemui,” katanya.

Zaihairul berkata, bayi berkenaan kini ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Serdang.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan

Malaysia oh tanah air ku...7

Lagi mayat bayi ditemui

SUBANG JAYA 6 Mei – Gejala buang bayi kini menjadi seolah-olah tiada kesudahan. Ketika masyarakat bimbang dan simpati, satu lagi mayat bayi baru lahir ditemui hanyut di Sungai Klang berhampiran Kampung Bukit Lancung, Puchong di sini hari ini.

Penemuan mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dan berkeadaan bogel itu menyusul selang dua hari selepas kes seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan di sebuah pondok berhampiran Surau Umudiah, Kampung Batu 29, Jenderam Hulu di Sepang.

Mayat bayi yang cukup sifat itu dipercayai dilahirkan kira-kira 24 jam lalu ditemui oleh dua lelaki yang ingin memancing di sungai berkenaan pada pukul 12 tengah hari.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, semasa turun ke sungai, dua lelaki yang juga penduduk Kampung Bukit Lancung itu ternampak satu objek mencurigakan terapung atas air.

Beliau berkata, mereka kemudian mengambil objek tersebut untuk diperiksa dan terkejut mendapati ia adalah mayat bayi lelaki.

“Dua lelaki terbabit kemudian membawa mayat itu ke tepi sungai dan membalutnya dengan kain sebelum menghubungi polis memaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.

Zainal Rashid berkata, siasatan awal mendapati bayi malang itu dilahirkan kira-kira 24 jam yang lalu kerana masih bertali pusat.

Beliau berkata, polis percaya bayi terbabit dicampakkan ke dalam sungai sebaik sahaja dilahirkan dan mayatnya dihanyutkan arus sehingga ke Kampung Bukit Lancung.

Katanya, tempat di mana bayi itu dicampak belum dapat dikenal pasti kerana Sungai Klang mengalir dari Kuala Lumpur hingga ke Klang.

“Bayi lelaki ini cukup bulan, sempurna sifat dan berkulit cerah tetapi bahagian kepalanya bengkak dipercayai akibat terlanggar benda keras semasa dihanyutkan.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang prihatin apabila mengangkat mayat bayi itu dari sungai kerana jika dibiarkan mungkin ia dihanyutkan ke tempat lain dan tidak ditemui memandangkan arus ketika itu deras,” katanya

Malaysia oh tanah air ku...6

Pasangan remaja mengaku salah tanam bayi

MELAKA 18 Mei – Tindakan kejam sepasang remaja menanam mayat bayi mereka yang baru dilahirkan di tepi sebatang sungai, enam hari lalu telah mengheret mereka berdua ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Ibu bayi itu, seorang remaja berusia 15 tahun dari Durian Tunggal, Alor Gajah dan teman lelakinya, Muhammad Safiuddin Mohd. Zahari, 19, dari Taman Melaka Baru mengaku bersalah secara bersama-sama menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dan mengebumikannya di tepi sebatang sungai dekat Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini.

Kedua-dua mereka yang bertubuh kecil dituduh melakukan kesalahan itu di antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari, 12 Mei lalu.

Mereka yang tidak diwakili peguam bela didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Muhammad Faizal Ismail menetapkan 17 Jun ini untuk menjatuhkan hukuman dan fakta kes sementara menunggu laporan akhlak kedua-dua tertuduh dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Beliau juga membenarkan pasangan remaja itu masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latif menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh.

Muhammad Safiuddin memohon mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan yang ditawarkan dengan alasan dia masih belajar dan sedia untuk berubah.

”Saya mohon diberi peluang kedua. Saya akan berubah dan ingin meneruskan pelajaran,” katanya.

Teman wanitanya yang kelihatan menggigil ketika di mahkamah memakai dua lapis baju T, stokin dan berselipar juga memberi alasan sama iaitu masih belajar.

”Ibu saya juga merupakan ibu tunggal selain adik-adik lain juga masih sekolah,” katanya.

Kedua-dua tertuduh kemudian dibebaskan selepas dijamin oleh ibu masing-masing.

Muka hadapan akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan pasangan remaja tersebut yang bertindak menyembunyikan kelahiran anak mereka dengan cara menanamnya di tebing Sungai Melaka di Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini pada Rabu lalu.

Kejadian itu mula disedari oleh ibu kepada remaja perempuan terbabit yang terkejut apabila mendapati anaknya itu dalam keadaan berlumuran darah dan terus membawanya ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan.

Sebaik sahaja disahkan anaknya baru melahirkan seorang bayi, ibu berusia 30-an itu kemudian membuat laporan polis sebelum polis berjaya menahan remaja lelaki terbabit

Malaysia oh tanah air ku...5

Bayi lelaki ditinggalkan di bawah jambatan

IPOH 15 Sept. – Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di atas beberapa batang paip di bawah sebuah jambatan di Kampung Cegar, Bidor di sini petang ini.

Bayi malang itu ditinggalkan kira-kira 1.5 kilometer dari Taman Rekreasi Air Panas Sungai Kelah dan ditemui seorang wanita pada pukul 5.30 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Supritendan Abdullah Arshad berkata, bayi yang masih bertali pusat itu dalam keadaan sihat dan dibawa ke Klinik Kesihatan Sungkai untuk pemeriksaan lanjut

Malaysia oh tanah air ku...4

Bayi perempuan dalam beg ditemui di hentian bas

JOHOR BAHRU 22 Julai – Dari tong sampah ke semak sehinggalah dalam sungai, gejala buang bayi terus berlaku.

Terbaru pagi ini, seorang bayi perempuan ditinggalkan dalam sebuah beg dekat tempat menunggu bas berhampiran Hospital Sultan Ismail di sini.

Seorang pekerja kilang wanita yang sedang menunggu bas di tepi Jalan Persiaran Mutiara Emas di sini mengesyaki sesuatu apabila melihat beg itu bergerak-gerak lalu menghampirinya.

Menurut wanita berusia 57 tahun yang enggan dikenali itu, dia memberanikan diri membuka beg tersebut dan alangkah terkejutnya apabila menemui seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat di dalamnya.

Bayi malang yang ditemui pukul 6.40 pagi itu segera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, bayi itu berkulit cerah tetapi keturunannya masih belum dapat disahkan.

“Kita percaya bayi itu baru sahaja dilahirkan awal pagi ini sebelum diletakkan dalam sebuah beg berhampiran hospital,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Zainuddin, bayi tersebut kini dirawat di hospital berkenaan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2218999 bagi membantu siasatan.

Pihaknya sedang mengesan individu yang terlibat membuang bayi tersebut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Malaysia oh tanah air ku...3

KOTA BHARU 15 Sept. – Kegembiraan sebuah keluarga menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kampung Salor dekat sini terbantut apabila mereka dikejutkan dengan penemuan seorang bayi perempuan yang masih hidup dan ditinggalkan di beranda rumah keluarga itu, hari ini.

Bayi seberat 2.5 kilogram itu ditemui oleh Mohssin Sheikh Mohammad, 50, selepas diberitahu oleh anak saudaranya berusia 19 tahun yang terdengar tangisan bayi itu kira-kira pukul 8 pagi.

Mohssin yang pulang bercuti di rumah keluarganya di kampung berkata, sebaik sahaja dimaklumkan, dia terus membuka pintu dan mendapati bayi perempuan yang diselimut dengan kain lampin serta tuala itu diletakkan di atas beranda rumahnya

Malaysia oh tanah air ku....2

Mahasiswa IPTA buang bayi di belakang dapur

KUBANG PASU 19 Sept. – Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat menerima nasib malang apabila dibuang ibunya sendiri di belakang pintu dapur sebuah rumah di Taman Rasa Sayang di sini, semalam.

Tidak cukup dengan itu, seorang gadis dipercayai ibu bayi berkenaan telah berpura-pura kononnya ‘menemui’ seorang bayi di belakang rumah tersebut kira-kira pukul 8 malam semalam.

Difahamkan, bayi tersebut dibuang ibunya sendiri yang merupakan seorang penuntut di salah sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di daerah ini.

Gadis tersebut yang berusia 20 tahun, dikatakan melahirkan bayi tersebut di rumahnya namun bertindak membuang bayinya di belakang rumah itu bagi mengelakkan perkara tersebut diketahui ramai.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Ibrahim Mohd. Yusoff memberitahu, bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, hasil siasatan, polis kemudian menahan seorang penuntut IPTA berusia 20 tahun pada pukul 9 malam bagi membantu siasatan.

“Pelajar terbabit ditahan di kawasan berhampiran dan dia ketika ini menerima rawatan di hospital sama,” katanya.

Ibrahim berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan

Malaysia oh tanah air ku... 1

BALING 12 Okt. – Seorang bayi lelaki baru lahir berbalut dengan tuala, ditemui ditinggalkan dalam semak di tepi pagar berdekatan sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Kampung Titi Teduri, Mukim Pulai di sini hari ini.

Bayi yang terdapat kesan luka di badan akibat terkena duri, ditemui pekerja dan pemilik taska berkenaan pukul 10 pagi ini dan kemudian membuat laporan polis.

Bayi seberat tiga kilogram itu dengan tali pusatnya sudah dipotong ditemui dalam keadaan lemah dan terdapat semut di badannya.

Bayi lelaki berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui dan turut ditemui bersama bayi itu adalah urinya yang diletakkan berdekatan bayi itu.

Kesan darah turut ditemui dalam kawasan pagar taska itu serta di kawasan bayi ditinggalkan.

Pemilik taska terbabit, Siti Hawa Othman, 40, berkata dua guru di taska itu terpandang tompokan darah ketika membantu pelajar memberus gigi di kawasan itu sebelum bayi berkenaan ditemui pada jarak tiga kaki dari mereka berdiri.

Berpandukan tompokan darah di atas simen dalam kawasan taska terbabit, dua guru terbabit membuat siasatan hingga menemui bayi yang berbungkus dengan sehelai tuala dalam semak di sebelah pagar taska itu.

Siti Hawa yang mengambil dan membersihkan kotoran yang terlekat di badan bayi berkenaan kemudian membuat laporan polis.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling, Amelia Shatirah Dorahim berkata, bayi berkenaan dihantar ke Hospital Daerah Baling selepas pemilik taska membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mohd. Daut Md. Hasan mengesahkan, polis menerima laporan penemuan bayi itu dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan ibu bayi itu dan pasangannya serta individu terlibat.

Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani petang ini
untuk rawatan lanjut berikutan jangkitan kuman. – BERNAMA

Ke mana hilangnya nilai-nilai murni rakyat Malaysia..

PULAU PINANG 31 Okt. – Seorang wanita tidak menyangka tindakannya menegur anak jirannya yang membuat bising di depan rumah membawa padah apabila diserang oleh ibu bapa kanak-kanak itu sehingga dia mengalami patah kaki kanan dan hidung.

Dalam kejadian pukul 6 petang, Rabu lalu, mangsa yang berusia 43 tahun bukan sahaja ditumbuk malah dipijak oleh ibu bapa kanak-kanak itu.

Lebih malang lagi, cucu dikendong berusia sebulan terlepas dari tangannya dan jatuh ke lantai semasa diserang suami isteri yang tinggal di depan rumahnya di Teluk Kumbar di sini.

“Niat saya hanya menegur anak mereka agar tidak bersikap kurang ajar dan membuat bising di hadapan rumah disebabkan cucu saya ketika itu sedang tidur.

“Tiba-tiba selang beberapa minit, kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu datang menyerang lalu menumbuk muka sehingga rebah sebelum saya dipijak-pijak mereka.

“Cucu saya terpelanting dan saya ketika itu tidak terdaya lagi disebabkan kaki kanan saya sudah tidak rasa apa-apa lagi,” katanya yang enggan identitinya dikenali ketika ditemui di sini, hari ini.

Tak ada lesen boleh bawa bas? Oh Malaysia...

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Beberapa persatuan pengguna hari ini mendesak agar pihak berkuasa menggenakan hukuman yang berat kepada pengusaha bas yang mengambil pemandu yang tidak memiliki lesen memandu.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu berkata, tindakan pengusaha bas terbabit bukan sahaja mempersendakan undang-undang negara tetapi turut menjejaskan keselamatan penumpang.

"Bagi memastikan undang-undang negara dipatuhi, pihak berkuasa perlu meningkatkan penguatkuasaan untuk memastikan setiap pemandu di jalan raya terutamanya mempunyai lesen memandu.

"Kita tidak boleh memandang remeh perkara tersebut kerana ia melibatkan keselamatan pengguna," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Husin Omar mengesahkan, pemandu bas yang mengakibatkan tujuh orang maut dalam satu kemalangan di Kilometer 38 Genting Sempah dekat sini didapati tidak mempunyai lesen memandu.Sementara itu, Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd. Mustaffa Hamzah berpendapat, hukuman yang berat perlu dikenakan kepada syarikat bas terbabit kerana telah mengakibatkan kemalangan yang membabitkan kehilangan nyawa.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga perlu memainkan peranan dengan meningkat syarat kelayakan untuk menjadi pemandu pengangkutan awam bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin.

"Kita tidak mahu nyawa pengguna melayang begitu sahaja hanya kerana sikap sesetengah syarikat yang mementingkan keuntungan," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, syarikat pengusaha bas perlu menjalinkan kerjasama erat dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sebagainya.

"Melalui kerjasama itu, saya percaya dapat membantu mereka memiliki pemandu yang betul-betul berkelayakan untuk bekerja dengan mereka," katanya.