Thursday, January 7, 2010

Merancang perbelanjaan



Merancang perbelanjaan sangat penting dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan harga barangan yang sentiasa naik. Sebagai kakitangan kerajaan yang memperoleh pendapatan tetap, saya mempunyai peluang yang baik untuk menyediakan bajet perbelanjaan setiap bulan. Saya akan berkongsi cara saya merancang dan mengawal perbelanjaan, tetapi ingin saya tegaskan bahawa cara saya bukan lah cara terbaik (berdasarkan keadaan hidup ketika di Malaysia).

Sebagai seorang yang telah mempelajari ilmu perakaunan untuk tempoh yang agak lama, saya sudah terbiasa membuat bajet dan mengira setiap perbelanjaan saya setiap bulan. Pengurusan kewangan peribadi sangat penting untuk memastikan kita dapat menghadapi hidup dengan tenang tanpa tekanan.

Setiap bulan saya akan senaraikan belanja tetap seperti bayaran kereta, sewa rumah dan duit untuk bonda; juga anggaran perbelanjaan(berdasarkan bayaran pada bulan2 lepas) untuk bil elektrik, air dan telefon;belanja makan/dapur; minyak kereta; belanja peribadi; ubat-ubatan dan lain-lain. Setelah di tolak semua perbelanjaan tersebut, tengok berapa banyak baki yang ada.

Pastikan setiap bulan ada agihan ke tabung simpanan sekurang-kurangnya 10-20% daripada pendapatan bersih. Setelah diagihkan ke tabung simpanan, sekiranya masih terdapat baki, maka duit tersebut akan disimpan sebagai duit "emergency". Boleh dibelanjakan sekiranya ada keperluan terdesak, sekiranya tiada keperluan, akan dibawa ke bulan hadapan. Untuk lebih memudahkan dan mendisiplinkan diri, potongan gaji seperti ke tabung haji setiap bulan boleh dilakukan dan anggaplah duit itu "tidak wujud".

Saya juga tidak menggunakan credit card buat masa ini. Saya pernah menggunakan 3 credit card pada suatu ketika. Tetapi, saya masih boleh merancang, mengawal dan memastikan ada agihan ke tabung simpanan. Kepada kawan-kawan yang menggunakan credit card, perlu kental hati ketika berbelanja. Ingat bukan dapat barang free sebaliknya perlu membayar juga nanti.

Saya sentiasa mengukur baju dibadan sendiri. Perlukah barang berjenama atau boleh dipertimbangkan barang-barang yang tidak berjenama. Saya merasakan ada barang berjenama yang saya kena beli, tetapi terdapat sesetengah barang yang kualitinya baik walaupun tidak berjenama. Sebelum membeli barang-barang yang bernilai tinggi saya akan buat sedikit 'homework', terutama jika melibatkan jenama kerana barang berjenama agak hingga ke sangat mahal di Malaysia.

Dengan mengawal perbelanjaan seperti itu saya tidak akan menjadi kaya, tetapi sekiranya berlaku apa-apa perkara yang menuntut kepada kewangan, sekurang-kurangnya saya tidak terkapai-kapai kelemasan. Kita tidak tahu apa yang bakal terjadi di masa hadapan, oleh itu, ada baiknya disediakan payung sebelum hujan. Janganlah menganggap merancang perbelanjaan boleh menjadi kaya.

Saya merasakan bahawa, dengan mempunyai simpanan kita dapat membantu mereka yang memerlukan terutama famili terdekat kita. Saya tidak pernah berfikir dua kali untuk mengeluarkan duit bagi kegunaan famili. Itulah kepuasan yang diperolehi dengan menggembirakan mereka.

Pokok pangkalnya bergantung kepada diri sendiri. Saya pastikan yang mana keperluan asas, keperluan am, kemahuan yang ok, nafsu dan sebagainya. Berfikir banyak kali sebelum memutuskan sesuatu pembelian yang bukan keperluan asas.

Islam mengajar kita bersederhana dalam segala hal termasuk perbelanjaan kita sehari-hari. Kita juga diminta mengejar dunia seolah kita akan hidup seribu tahun dan diminta mengejar akhirat seolah akan mati esok hari. Moga segala rezeki yang kita dapat adalah dari sumber-sumber yang halal. Sebahagian dari rezeki tersebut adalah milik mereka yang memerlukan. Saya mengingatkan diri sendiri dan kawan-kawan agar bersedekah semampu yang boleh kerana bersedekah itu sangat besar pahala dan mulia di sisi Allah.

Aisyah r.a meriwayatkan dari nabi saw bahawa beliau bersabda:
"Dermawan itu adalah pohon yang batangnya ada di syurga dan dahan-dahannya terurai ke dunia, oleh kerana itu barangsiapa berpegangan pada dahan itu ia akan ditarik ke syurga. Sedangkan kikir (kedekut) adalah pohon yang batangnya di neraka, oleh kerana itu barang siapa berpegangan pada dahan itu ia akan ditarik ke neraka".

"Barangsiapa mempunyai harta yang banyak, akan lama hisabnya pada hari akhirat" Iman Ahmad bin Hambal

No comments:

Post a Comment