Friday, November 5, 2010

Malaysia oh tanah air ku...12

Terkini

ALOR SETAR 5 Nov. - Dalam kekalutan penduduk daerah Kota Setar menghadapi musibah banjir, ada pihak yang tidak berhati perut tergamak membuang janin di dalam bungkusan beg plastik di depan Hotel Sentosa Regency, Jalan Lumpur di sini hari ini.

Bungkusan plastik berwarna kuning itu dijumpai di depan kawasan letak kereta di depan hotel berkenaan oleh dua pekerja hotel tersebut kira-kira pukul 11 pagi ini.

Pekerja terbabit Nor Hamidah Che Long, berkata, kawasan jalan raya di depan hotel tersebut mula dilimpahi air awal pagi dan hanya kawasan di depan tempat letak kereta tersebut masih tidak ditenggelami air.

"Saya curiga dengan kandungan bungkusan tersebut lalu mengajak kawan saya, Saidatul Zainuddin untuk pergi melihat isi kandungan beg plastik kuning tersebut.

"Bila buka bungkusan tersebut saya nampak janin bayi yang masih ada tali pusat, uri dan bungkusan itu dipenuhi darah," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, dia terkejut kerana darah tersebut masih baru dan janin bayi tersebut hancur.

"Tangan dan kakinya jelas nampak namun jantinanya tidak dapat dipastikan.

"Selepas itu, saya terus menghubungi pihak polis bagi melaporkan mengenai kejadian ini," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan janin tersebut dan sedang mengesan pihak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment