Monday, November 1, 2010

Malaysia oh tanah air ku...7

Lagi mayat bayi ditemui

SUBANG JAYA 6 Mei – Gejala buang bayi kini menjadi seolah-olah tiada kesudahan. Ketika masyarakat bimbang dan simpati, satu lagi mayat bayi baru lahir ditemui hanyut di Sungai Klang berhampiran Kampung Bukit Lancung, Puchong di sini hari ini.

Penemuan mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dan berkeadaan bogel itu menyusul selang dua hari selepas kes seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan di sebuah pondok berhampiran Surau Umudiah, Kampung Batu 29, Jenderam Hulu di Sepang.

Mayat bayi yang cukup sifat itu dipercayai dilahirkan kira-kira 24 jam lalu ditemui oleh dua lelaki yang ingin memancing di sungai berkenaan pada pukul 12 tengah hari.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, semasa turun ke sungai, dua lelaki yang juga penduduk Kampung Bukit Lancung itu ternampak satu objek mencurigakan terapung atas air.

Beliau berkata, mereka kemudian mengambil objek tersebut untuk diperiksa dan terkejut mendapati ia adalah mayat bayi lelaki.

“Dua lelaki terbabit kemudian membawa mayat itu ke tepi sungai dan membalutnya dengan kain sebelum menghubungi polis memaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.

Zainal Rashid berkata, siasatan awal mendapati bayi malang itu dilahirkan kira-kira 24 jam yang lalu kerana masih bertali pusat.

Beliau berkata, polis percaya bayi terbabit dicampakkan ke dalam sungai sebaik sahaja dilahirkan dan mayatnya dihanyutkan arus sehingga ke Kampung Bukit Lancung.

Katanya, tempat di mana bayi itu dicampak belum dapat dikenal pasti kerana Sungai Klang mengalir dari Kuala Lumpur hingga ke Klang.

“Bayi lelaki ini cukup bulan, sempurna sifat dan berkulit cerah tetapi bahagian kepalanya bengkak dipercayai akibat terlanggar benda keras semasa dihanyutkan.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang prihatin apabila mengangkat mayat bayi itu dari sungai kerana jika dibiarkan mungkin ia dihanyutkan ke tempat lain dan tidak ditemui memandangkan arus ketika itu deras,” katanya

No comments:

Post a Comment