Wednesday, August 31, 2011

Keadaan Kuala Lumpur bak berada di negara asing

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Bak berada di negara asing, begitulah suasana di ibu negara hari ini apabila warga asing memenuhi lokasi tumpuan awam ketika jutaan umat Islam negara ini meraikan Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.

Tinjauan Utusan Malaysia di Menara Berkembar Petronas (KLCC) mendapati, rata-rata pengunjung adalah warga Bangladesh dan Indonesia yang mengambil kesempatan sempena cuti umum untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di sini bersama rakan atau keluarga.

Dengan pelbagai gelagat, ada yang dilihat begitu leka mengambil gambar dan ada pula menikmati makanan secara berkumpulan di taman rekreasi menara tersebut.

Seorang operator pengeluaran warga Indonesia, Nopi Rajidi, 19, berkata, dia dan rakan-rakannya mengambil peluang berkunjung ke KLCC kerana ingin melihat keunikan bangunan itu dari dekat.

Menurutnya, meskipun bekerja di Cyberjaya, dia belum pernah berpeluang melihat menara berkembar itu dari dekat.

“Selepas ini kami akan berjalan-jalan ke satu lokasi lain pula,” katanya.

Mohd. Sharudeen Amirudin, 24, yang berasal dari Bangladesh turut berkongsi pendapat yang sama.

Katanya, dia dan rakan-rakannya tidak mempunyai pilihan selain merayakan Aidilfitri di kawasan tumpuan seperti KLCC.

“Saya tidak mempunyai saudara-mara di sini untuk menyambut hari raya bersama-sama. Sebab itu saya bersiar-siar bersama rakan-rakan sekerja," katanya yang bekerja di kedai sayur di kawasan Jalan Pudu.

Bagi Dewi Ahmad, 21, pula kunjungan ke KLCC merupakan satu perkara wajib setiap kali sambutan Aidilfitri.

“Sebagai warga asing yang berjauhan dari keluarga, beginilah cara kami menyambut hari raya,” katanya yang sudah tiga tahun menyambut Aidilfitri di Malaysia.

Sementara itu Farhan Osman, 42, dari Pakistan berkata, disebabkan keunikan budaya rakyat Malaysia hatinya tertarik untuk membawa keluarga menyambut Aidilfitri di Malaysia.

“Ini merupakan kunjungan ketiga saya ke Malaysia, tetapi keluarga saya pula baru pertama kali. Mereka sungguh tertarik dengan keamanan serta keharmonian negara yang diduduki oleh masyarakat pelbagai kaum,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment